Friday 20 April 2012

Kesimpulan

Salah satu pendekatan untuk menjadi negara yang maju dan mencapai Wawasan 2020 adalah dengan menaik taraf pendidikan di negara kita. Seperti yang kita maklum, perkembangan pendidikan di negara kita iaitu Malaysia ternyata mengalami banyak perubahan terutama sejak zaman penjajahan hinggalah zaman selepas merdeka. Perubahan ini di lakukan selaras dengan peredaran masa dan keperluan masyarakat. Namun begitu, pendidikan di negara kita masih di tahap yang belum boleh dibanggakan kerana terdapat lagi beberapa masalah atau isu yang sering mengganggu peredaran kemajuan pendidikan kita. Untuk mengenalpasti tahap pencapaian pelajar di Malaysia, kerajaan kita telah menyertai TIMSS dan dengan cara ini pencapaian pendidikan dapat dikenalpasti dan turut mudah diperbaiki.

Sebagai kesimpulannya untuk mencapai matlamat pendidikan negara, pelbagai pihak perlu berganding bahu terutamanya para guru. Sebagai seorang yang telah berkecimpung dalam bidang pendidikan, seseorang guru sememangnya tidak dapat mengelakkan diri daripada melakukan perubahan dalam pengajaran mereka demi masa depan generasi muda iaitu para pelajar yang bakal menerajui negara kita kelak. Mutu pendidikan yang sempurna serta hubungan masyarakat yang harmoni menjadi tunggak kejayaan yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju standing dengan negara maju lain terutama negara jiran yang terdekat iaitu Singapura dan dapat merealisasikan Wawasan 2020.





Langkah/ pendekatan


PENGGUBALAN DASAR MBMMBI MENGANTIKAN DASAR PPSMI
Untuk mengatasi masalah yang timbul selepas pelaksanaan PPSMI, kerajaan telah mengambil keputusan untuk memansuhkan PPSMI. Pemansuhan PPSMI ini tidak bermakna kerajaan telah mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris. Lantaran itu, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan dasar baru iaitu dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris atau lebih dikenali sebagai MBMMBI. Dasar ini akan dikuatkuasakan pada tahun 2012.  Memartabatkan Bahasa Malaysia (BM) bermaksud meletakkan BM pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Manakala memperkukuhkan Bahasa Inggeris (BI) bermaksud memantapkan penguasaan BI sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dasar MBMMBI:
Pendekatan Memartabatkan Bahasa Malaysia
a)        penambahan masa P&P
JENIS SEKOLAH
PENAMBAHAN MASA
TAHAP 1 :
Sekolah kebangsaan
Sekolah Jenis Kebangsaan

360 minit (tiada perubahan)
300 minit (210 minit + tambahan 90 minit)
TAHAP 2 :
Sekolah Kebangsaan
Sekolah Jenis Kebangsaan

300 minit (tiada perubahan)
240 minit (150 minit + tambahan 90 minit)

Pendekatan ini di ambil untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melaysia di kalangan kaum yang bukan bangsa melayu.  Menurut Syed Ismail (2010)  pendidikan adalah kepentingan awam dan mempunyai peranan yang sangat penting untuk memupuk integrasi antara kaum dan dalam usaha pembangunan negara. Dengan pendekatan ini, integrasi nasional juga dapat di tingkatkan di antara semua kaum di Malaysia.

b)              Penggunaan BM Standard Merentas Kurikulum
Penggunaan sistem bahasa yang betul dalam mata pelajaran yang lain akan menyokong P&P BM. Penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar mesti dipantau agar tidak menjejaskan standard dan mutu BM itu sendiri. Pendekatan ini boleh berjaya sekiranya pelbagai pihak bekerjasama dalam menggunakannya. Sebagai contohnya, para guru perlu menggunakan bahasa standard  walaupun mengajar di negeri sendiri seperti Kelantan, Kedah dan Sabah yang terkenal dengan penggunaan dielak tempatan.

c)            Syarat layak masuk Institusi Pengajian Tinggi
Pelajar yang mengikuti pengajian di university hendaklah diwajibkan mendapat kepujian dalam BM di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat layak masuk. Hal ini kerana untuk memastikan bahawa pelajar yang masuk ke universiti bermutu tinggi dalam penguasaan Bahasa Malaysia dan di samping itu juga, penggunaan BM tidak diabaikan.

Pendekatan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris
a)    Penambahan masa P&P
           
JENIS SEKOLAH
PENAMBAHAN MASA
TAHAP 1 :
Sekolah Kebangsaan
Sekolah Jenis Kebangsaan


300 minit (210 minit +tambahan 90 minit)
150 minit (60 minit + tambahan 90 minit )
TAHAP 2 :
Sekolah Kebangsaan
Sekolah Jenis Kebangsaan

300minit (210 minit + tambahan 90 minit)
150 minit (90 minit + tambahan 60 minit)

Di sini timbulnya beberapa persoalan berkenaan pertambahan masa ini. Antaranya adalah bagaimana KPM memastikan guru bahasa Malaysia dan guru bahasa Inggeris mencukupi bagi menampung penambahan waktu pengajaran subjek tersebut? Oleh itu, KPM akan melaksanakan Certificate in the Practice of English Language Teaching (CPELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah rendah di seluruh Malaysai.

b)    Didik hibur
Modul Language Arts menekankan aspek didik hibur dan apresiasi bahasa. Proses P&P akan menjadi lebih menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar. Bahan bacaan estetik seperti Sastera Kontemporari Kanak-kanak, bahan Bacaan Awal Berstruktur dan bacaan Ekstensif disediakan bagi mendedahkan murid kepada BI pelbagai pembelajaran berlandaskan hiburan akan menarik perhatian untuk belajar dengan penuh minat. Oleh itu, modul ini akan dapat menarik perhatian pelajar selaras dengan peningkatan pelajar dalam penguasaan BI.

c)     Menambahkan bilangan guru Bahasa Inggeris yang berkualiti
Untuk memastikan pertambahan guru yang berkualiti tinggi, Institusi Pendidikan Guru akan memantau prestasi atau penglibatan guru-guru baru ini selama 6 bulan selepas tamat pengajian dan di tempatkan di sekolah. Selain itu, Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT) ditubuhkan sebagai satu inisiatif ELTC untuk membantu guru-guru bahasa Inggeris bagi mengenalpasti keperluan latihan professional dan di samping itu, ia dapat dijadikan panduan mereka dalam meningkatkan tahap pengajaran mereka di dalam kelas.

Faktor-faktor

    Tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru 
Seperti yang kita maklum, guru dan murid adalah satu hubungan yang saling melengkapi antara sama lain. Tanpa guru, murid tidak akan dapat belajar dengan sempurna dan begitu juga dengan guru. Sebagai guru Matematik, tugas utama adalah untuk menterjemahkan isi kandungan silibus pelajaran kepada bentuk yang boleh difahami oleh pelajar (Noor Azlan, 2006). Justeru itu, sepatutnya penguasaan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan guru-guru PPSMI adalah baik apabila PPSMI dilaksanakan. Namun sebaliknya yang berlaku kerana bukan semua guru mahir dalam bahasa asing tersebut. Hal ini menyebabkan kegagalan pelaksanaan PPSMI di sekolah.

Hasil kajian mendapati 39.3 peratus guru sekolah rendah yang gagal dalam penilaian Tahap Proficiency Bahasa Inggeris. Hal ini perlu dipandang serius kerana ia akan memberi impak besar kepada pedagogi serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu juga, hasil kajian oleh sekumpulan pensyarah UPSI dan UKM pada tahun 2006 menunjukkan 70 hingga 80 peratus pelajar tingkatan 2 menyatakan mereka sukar mengikuti pengajaran guru Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Jamrang (2004) menyatakan jika pelajar tidak memahami segala penyampaian dan pengajaran guru semasa proses P&P kerana penggunaan bahasa, maka ia akan membawa kepada masalah pembelajaran kepada pelajar tersebut. Manakala Rohana (2002 di dalam Profesor Emeritus, 2008) pula melaporkan dapatan kajian bahawa 84 % guru Sains dan Matematik di sekolah rendah, 69% guru di Tingkatan 1, 42% guru di Tingkatan 6 dan 29% pensyarah di matrikulasi lemah dalam penggunaan Bahasa Inggeris.

      Secara logiknya, kelemahan guru dalam Bahasa Inggeris sudah tentu tidak dapat membawa kepada peningkatan pencapaian pelajar dalam matapelajaran Sains dan Matematik apabila di ajar dalam bahasa tersebut. Sebagai kesimpulannya, penguasaan bahasa pengantar dalam kalangan guru memainkan peranan yang penting bagi menyampaikan isi pelajaran dengan berkesan serta mencapai objektif pelajaran. 

Faktor perbezaan sosioekonomi dan persekitaran
Sosioekonomi bermaksud hal-hal yang berkaitan dengan unsur-unsur atau faktor-faktor kemasyarakatan dan ekonomi. Faktor latar belakang sosioekonomi juga memainkan peranan dalam menentukan kejayaan dan kegagalan pelaksanaan dasar PPSMI. Latar belakang sosial keluarga bermaksud saiz keluarga, pendapatan ibu bapa, pekerjaan ibu bapa dan ispirasi keluarga. Status sosioekonomi merupakan salah satu faktor penting yang menentukan pencapaian seseorang pelajar. Status ini merujuk kepada pelajar di luar bandar dan pelajar bandar kerana sosioekonomi mereka berbeza tetapi mempelajari perkara yang sama di sekolah.

Jamaludin Ishak (1992 dalam Lokuin 1998) menjelaskan bahawa terdapat dua golongan pelajar Bahasa Inggeris di Malaysia. Pertama pelajar di bandar atau separuh bandar dan kedua pelajar di luar bandar atau kawasan pedalaman. Golongan pertama menerima pendedahan bahasa yang luas dan mencukupi dan dapat menerima hakikat bahawa Bahasa Inggeris adalah bahasa kedua. Berbeza pula untuk golongan yang kedua, mereka kurang mendapat pendedahan yang cukup terhadap bahasa kedua tersebut. Disamping itu juga, mereka mempunyai anggapan yang negatif terhadap bahasa Inggeris. Sikap ini diterima daripada alam sekeliling mereka. Alam sekeliling disini boleh merujuk kepada persekitaran keluarga.

      Kebiasaannya ibu bapa diluar bandar berpendidikan rendah dan kurang terdedah dengan bahasa asing ini. Apabila ibu bapa kurang pendedahan terhadap bahasa ini, ia turut memberi kesan kepada pendidikan anak-anak. Kewujudan PPSMI turut menambah beban para pelajar ini apabila terpaksa belajar subjek yang susah seperti Sains daan Matematik dalam bahasa Inggeris yang merupakan subjek yang susah juga. Hal ini akan menyebabkan pencapaian mereka makin merosot. Berbeza dengan pelajar di bandar, penggunaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek itu bukan merupakan penghalang dalam meningkatkan pencapaian mereka. Hal ini kerana mereka menggunakan bahasa tersebut dalam kehidupan harian bersama keluarga.

Hasil kajian Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI(2008) mendapati 70 % pelajar melayu di SK terutama golongan sosioekonomi rendah di bandar dan luar bandar berhadapan dengan kesusahan belajar dalam Bahasa Inggeris. Manakala golongan yang mendapat faedah daripada pelaksanaan PPSMI ialah hanya 20 – 30 % pelajar dari keluarga professional dan bandar yang menggunakan bahasa tersebut sebagai salah satu bahasa keluarga. Sebagai kesimpulan disini, taraf sosioekonomi pelajar boleh mempengaruhi pencapaian pelajar dalam sesuatu mata pelajaran.

      Tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar
Seperti yang kita sedia maklum, Matematik adalah satu mata pelajaran yang susah di kalangan para pelajar. Menurut Azlina (2003 di dalam Johari, tahun tidak dinyatakan), Matematik adalah antara matapelajaran yang di anggap sebagai ‘killer subject’ terutama di kalangan pelajar luar bandar. Kebimbangan ini menjadi serius apabila matapelajaran ini di ajar dalam Bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, PPSMI telah meletakkan bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua. Kefasihan dalam bahasa kedua tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat terutamanya kefasihan bahasa kedua sebagai bahasa ilmu. Manakala menurut Erwin (1984 di dalam Johari, tidak dinyatakan tahun) mendapati bahawa dengan kekerapan latihan sahaja seseorang mungkin tidak dapat menguasai bahasa yang dipelajari. Ianya perlu di tambah dengan pemahaman dan pembinaan ayat untuk penguasaan bahasa yang dipelajari.

Selain itu juga, pelajar kurang bersedia dalam menghadapi perubahan baru. Hasil kajian mendapati kesediaan pelajar yang kurang mencukupi, menganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Masalah yang sering dihadapi oleh pelajar ialah masalah pemahaman dan sebutan istilah Matematik dalam bahasa Inggeris. Disamping itu juga, kesukaran menstruktur ayat menyebabkan pelajar kurang bertanya soalan kerana kesukaran berkomunikasi. Menurut Syed Ismail (2010) kaedah penyoalan adalah sesuai untuk menggalakkan pemikiran dan pembelajaran murid. Penyoalan boleh dibahagikan kepada enam tahap berdasarkan Taksonomi Bloom. Disini kita dapat lihat bahawa kaedah soal jawab dapat meningkatkan pembelajaran pelajar. Apakah yang akan terjadi jika pelajar kurang bertanya? Ia akan mengakibatkan pelajar tidak dapat mengikuti kelas dengan sempurna dan nilai kritis dan kreatif tidak dapat diterap dalam diri mereka.

Isu 3: Adakah pelaksanaan PPSMI punca kemerosotan pencapaian pelajar?

Pengajaran Pendidikan dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi salah satu Dasar Pendidikan Malaysia yang menetapkan Bahasa Inggeris mengantikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. PPSMI diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertujuan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Malaysia dan memantapkan kefahaman kedua-dua mata pelajaran tersebut. Adakah pelaksanaan PPSMI dapat membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan matematik? Persoalan ini timbul sejurus dasar ini diperkenalkan pada tahun 2002 dan dilaksanakan pada tahun 2003. Terdapat pihak yang menyokong dan menentang pelaksanaan ini berdasarkan pelbagai sebab dan alasan. Namun begitu, hasil laporan TIMSS 2007 menyebabkan dasar ini dikecam hebat oleh pihak yang menentang pelaksanaan dasar ini. Hal ini kerana laporan TIMSS menunjukkan kemerosotan yang tinggi dalam kedua-dua matapelajaran tersebut berbanding tahun sebelumnya.

Hasil kajian TIMSS menunjukkan wujud hubungan rapat antara proses pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa asing, selain bahasa ibunda dengan kelemahan dalam prestasi subjek berkenaan. Ulasan laporan TIMSS juga turut menyatakan bahawa di kebanyakkan negara dimana pelajarnya menggunakan bahasa ibunda dalam kedua-dua subjek tersebut mendapat purata pencapaian yang tinggi berbanding pelajar yang belajar dalam bahasa asing. Sebagai bukti, antara negara yang menggunakan bahasa ibunda dalam pembelajaran Sains dan Matematik  seperti Taiwan, Korea, Jepun dan Romania mencapai skor yang tinggi. Malah, semua negara di Kesatuan Eropah menerima dasar untuk mengajar mata pelajaran utama seperti Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda, manakala bahasa kedua wajib yang boleh dipilh ialah bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman.

Apakah punca PPSMI mendapat tentangan dari pelbagai pihak? Mengapakah penggunaan bahasa Inggeris kurang memberi manfaat dalam pembelajaran Sains dan Matematik? Pelbagai persoalan dan tanda tanya mengenai keberkesanan dasar PPSMI dalam proses  P&P setelah keluarnya laporan TIMSS 2007. Lantaran itu pula, pada tahun 2009 Menteri Pelajaran Malaysia mengumumkan bahawa PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2011, disebabkan timbulnya masalah-masalah. Ada sesetengah pihak mempersoalkan mengapa setelah 7 tahun ia dilaksanakan, kini ia mendapat tentangan? Mungkinkah ianya sejajar dengan kehendak masyarakat yang telah merasai kesan daripada pelaksanaan dasar tersebut kepada pelajaran anak-anak mereka?

TIMSS 2007

Trends In International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) merupakan satu kajian yang mengkaji pelaksanaan dan keberkesanan kurikulum Sains dan Matematik. Penyertaan Malaysia pada kali ini telah mendapat persetujuan dan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Ogos 2000 setelah dibentang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP). Malaysia merupakan antara 59 negara daripada seluruh dunia yang terlibat dalam TIMSS 2007. Penglibatan Malaysia dalam kajian ini melibatkan murid Tingkatan 2 iaitu seramai 4466 orang pelajar.

Menurut hasil kajian TIMSS 2007 menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara apabila skor Matematik merosot kepada 474 mata berbanding 508 pada tahun 2003. Manakala bagi skor Sains pula merosot kepada 471 mata daripada 510 pada 2003. Bagi pencapaian kedudukan, kedudukan Matematik dalam TIMSS telah merosot daripada tempat ke-10 daripada 46 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2003 kepada tempat ke-20 di dalam TIMSS 2007. Kedudukan sains juga turut merosot daripada kedudukan tempat ke-20 pada tahun 2003 kepada tempat ke-21 pada 2007.

Di samping itu juga, terdapat kajian TIMSS 2007 yang dilaksanakan oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachussets, Amerika Syarikat, mengatakan bahawa ada negara yang purata pencapaian pelajarnya meningkat atau menurun sedikit dan kemerosotan purata pencapaian pelajar Malaysia adalah yang terbesar dalam kalangan 59 negara tersebut. Hasil kajian terhadap laporan TIMSS 2007, menunjukkan majoriti negara-negara yang memperolehi skor purata yang lebih tinggi dan mendahului kedudukan di tangga teratas di dalam TIMSS 2007, menggunakan Bahasa Kebangsaan masing-masing sebagai bahasa pengantar di dalam pembelajaran dan pengajaran subjek Sains dan Matematik. 

Langkah/ pendekatan

Peranan guru mempelbagaikan gaya pengajaran
Peranan guru sebagai pembina modal insan cemerlang sejak zaman berzaman memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Jika kita lihat pada pekerjaan guru, ia tidaklah sebegitu ‘glamour’ jika dibandingkan dengan pengarah, doktor dan sebagainya. Tetapi pekerjaan guru adalah pekerjaan yang paling mulia pada pandangan masyarakat. Jadi sebagai seorang guru kita perlu mengekalkan pandangan tersebut dengan memberi pengajaran yang terbaik kepada generasi muda dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Sesetengah guru sering meluahkan kekecewaan atas sikap pasif murid menerima pengajaran mereka tanpa memikirkan bahawa murid juga mungkin kecewa dengan gaya pengajaran guru. Mengikut Wan Zahid (1993 di dalam Syed Ismail,2010), pelaksanaan Kurikulum (KBSR) dan Kurikulum (KBSM) akan membawa kepada perubahan penekanan daripada pendekatan tradisional kepada pendekatan baru dalam proses pembelajaran di sekolah, di mana ia menegaskan bahawa pembelajaran yang tertumpu kepada murid (child centered) mesti diamalkan dan sebaliknya mengurangkan pembelajaran yang berpusatkan guru (teacher centered). Pembelajaran yang berpusatkan pelajar akan mengalakkan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan permasalahan Matematik. Sebagai contohnya, mengajar Matematik menggunakan pembelajaran kooperatif seperti ‘Think-Pair-Share’,’Show Down’, ‘Group-Math-Tournament(GMT)’ dan sebagainya yang akan melatih pelajar menyelesaikan masalah.

Selain itu juga, guru perlu mempelbagaikan gaya pengajaran dengan menggunakan peralatan teknologi untuk memberi pengajaran yang lebih berkesan kepada pelajar. Teknologi Pendidikan merupakan aplikasi ilmu pengetahuan sainstifik mengenai pembelajaran dan keadaan pembelajaran untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan P&P. Menurut Sarason (1995 di dalam Syed Ismail, 2010) menjelaskan bahawa adalah mustahil untuk mencipta dan mengekalkan suasana pembelajaran yang produktif untuk para murid apabila pengajaran guru tidak produktif. Sebagai contohnya, guru boleh menggunakan software yang tertentu seperti Geometry Sketch Pad (GSP) untuk mengajar mengenai topik garis lurus. Dengan pendedahan penggunaan software tersebut, para pelajar mudah memahami isi pembelajaran dan ia dapat membantu dalam meyelesaikan permasalahan Matematik.

Peranan guru dan ibu bapa dalam meningkatkan minat pelajar
Ibu bapa adalah di antara peranan yang penting dalam mengubah sikap dan minat pelajar dalam sesuatu mata pelajaran. Hanya dengan didikan sempurna daripada ibu bapa, anak-anak berjaya membentuk personality anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa perlu menanam minat terhadap Matematik dalam diri anak-anak sejak kecil lagi dengan memberi pendedahan penggunaannya dalam kehidupan seharian. Dengan cara itu, anak-anak tidak akan berasa mata pelajaran Matematik merupakan perkara asing dalam kehidupan.

Selain itu juga, sebagai ibu atau bapa kepada pelajar di sekolah, guru bukan sekadar perlu mengenali nama pelajar tetapi harus menjiwai diri mereka. Ini bermaksud guru perlu memahami kehendak, tabiat, minat dan kelemahan bagi memudahkan penggunaan kaedah pengajaran. Untuk menarik minat pelajar dalam mata pelajaran Matematik, guru perlu mengambil langkah untuk menjadi seorang guru yang berinovasi. Menurut Syed Ismail (2010) antara langkah untuk membentuk strategi inovatif dalam penyampaian pengajaran untuk mewujudkan suasana yang menyeronokkan adalah kenali diri pelajar, strategi pengajaran yang releven, punyai unsur kecindan, daya imaginasi yang tinggi dan pemilihan media. Dengan langkah-langkah tersebut, guru akan dapat menarik minat pelajar untuk mendalami dunia Matematik.

Di samping itu juga, pihak kerajaan juga tidak ketinggalan dalam usaha menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik. Antaranya adalah pengenalan komik dalam Sains dan Matematik. Institusi Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sedang menganalisis 50 buah buku bertemakan kreatif ke dalam Bahasa Melayu sebagai medium pembelajaran Sains dan Matematik. Langkah ini digunakan di negara serantau seperti Korea dan Jepun dalam menarik minat pelajar mereka untuk mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini.

Meningkatkan motivasi pelajar dalam mengamalkan gaya pembelajaran yang betul
Gaya pembelajaran yang berkesan mempengaruhi pencapaian seseorang pelajar. Pelbagai pihak perlu mengambil perhatian terhadap gaya pembelajaran yang diamalkan oleh pelajar agar ia tidak terpesong. Dalam pembelajaran individu, Ingham (1992) dan Wan Zahid (1993) di dalam Syed Ismail (2010) mengesyorkan agar para guru, murid dan ibu bapa memahami gaya pembelajaran murid dan menganggap perbezaan yang ada pada diri pelajar sebagai satu keistimewaan dan mereka dapat menggunakan keistimewaan mereka secara berkesan dalam pembelajaran.

Sebilangan pelajar yang mengamalkan gaya pembelajaran yang kurang berkesan adalah kerana mereka kurang motivasi dalam menyediakan gaya pembelajaran yang berkesan. Menurut Wan Nor Shamimi (2006),pihak KPM telah memberi kepercayaan kepada pihak sekolah untuk meningkatkan tahap motivasi pelajar dalam Matematik dan Sains dengan memberi bantuan dari sudut kewangan. Antara program untuk meningkatkan motivasi yang sering di adakan di sekolah ialah Smart Learning, Kem Sains dan Matematik dan Kem Motivasi Matematik. Apabila pelajar mempunyai motivasi yang tinggi untuk belajar, maka mereka akan dapat mengenalpasti gaya pembelajaran yang berkesan untuk mata pelajaran yang tertentu dan ini akan membantu dalam meningkatkan pencapaian mereka.

Faktor-faktor

Gaya pengajaran guru yang kurang berkesan
Untuk menyediakan pelajar berhadapan dengan arus globalisasi pada masa mendatang, para pendidik Matematik perlu memperbaiki taraf kurikulum Matematik selari dengan perkembangan era ICT. Menurut Noor Shah (2010) pengajaran traditional berkaitan dengan konsep penerangan dan demostrasi masih berguna di alaf 21 ini tetapi memerlukan beberapa penambahbaikan dari strategi dan kaedah pengajaran. Oleh itu, guru yang masih mengamalkan pengajaran tradisional perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran agar pengajaran menjadi lebih berkesan terhadap para pelajar.

Menurut Siti Hamizah (2001 di dalam Wan Nor Shamimi, 2006) faktor utama kelemahan pelajar dalam Matematik adalah kerana guru kurang inisiatif untuk menambahkan ilmu pengetahuan di dalam bidang terutamanya yang melibatkan perkembangan kurikulum semasa. Sebagai contohnya, guru kurang gemar untuk mempelajari kemahiran penyelesaian menakkul, pembelajaran kooperatif dan sebagainya. Selain itu juga, guru kurang arif dalam bentuk dan format soalan dan menyebabkan mereka menggunakn cara pintas untuk mengajar para pelajar dalam menyelesaikan masalah. Di sebabkan hal inilah yang menyebabkan pelajar Malaysia lemah dalam menjawab soalan yang berbentuk penyelesaian masalah kerana mereka kurang mendapat pendedahan untuk cara menjawab soalan.

Selain itu juga, seseorang perlu ada pengetahuan yang mendalam tentang mata pelajaran yang hendak di ajar kerana dengan kurangnya pengetahuan guru dalam mata pelajarannya akan mendatangkan rasa tidak percaya pada dirinya,menyebabkan sifat yang membeku akan mendatangkan rasa bimbang dan seterusnya menghilangkan kepercayaan murid kepada guru (Atan Long, 1988 di dalam Zainita, 2003). Jika kita perhatikan, kebanyakkan guru masih terikat dengan pengajaran traditional yang kurang bersesuaian dengan tajuk yang di ajar. Perkara ini turut disokong oleh kajian Nik Aziz (2002 di dalam Wan Nur Shamimi, 2006) yang mendapati guru hanya memberi latih tubi untuk mengukuhkan kemahiran penyelesaian, menghabiskan silibus yang padat, kurang memberi penekanan kepada aspek kognitif dan membina pengetahuan Matematik secara konstruktif.

Sikap pelajar yang kurang meminati matematik
 Bukan semua pelajar meminati mata pelajaran kerana ia di kenali sebagai ‘killer subject’ dalam kalangan pelajar. Sikap pelajar yang kurang meminati Matematik boleh mempengaruhi pencapaian mereka dalam mata pelajaran tersebut. Pelajar yang belajar Matematik bukan dengan sepenuh hati akan menganggap mata pelajaran tersebut membosankan dan sukar. Di sebabkan hal ini, mereka mengambil jalan singkat untuk belajar Matematik secara hafalan. Ini akan mengakibatkan mereka akan hilang minat terhadap Matematik. Menurut Abdul Jalil (1993 di dalam Wan Nor Shamimi,2006) faktor minat dalam diri pelajar akan mempengaruhi proses pembelajaran. Jika pelajar meminati sesuatu, secara tidak langsungnya ia akan memberi keazaman yang kuat untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.

Selain itu juga, minat pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran amat penting kerana ia turut mempengaruhi pencapaian mereka. Sebagai contoh, jika kita perhatikan kanak-kanak suka bermain dengan permainan video dan sering mendapat keputusan yang lebih tinggi berbanding orang dewasa. Hal ini berlaku kerana mereka minat dalam permainan video berbanding orang dewasa yang tidak mempunyai masa untuk bermain permainan tersebut. Keputusan yang sama di dapati oleh Abu Seman (1997 di dalam Zaitina, 2003) dalam kajian yang dijalankan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, mendapati apabila minat pelajar-pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran itu tinggi, maka pencapaian pelajar akan meningkat. Oleh itu peranan ibu bapa dan guru amat penting dalam meningkatkan minat pelajar terhadap Matematik.

Gaya pembelajaran yang lemah dalam kalangan pelajar
Setiap individu mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza antara satu sama lain. Antaranya adalah sesetengah pelajar suka membuat catatan apabila mengulangkaji sesuatu mata pelajaran, ada yang suka belajar secara berkumpulan dan tidak ketinggalan juga pelajar yang suka belajar secara hafalan tanpa memahami maksud sebenar terutama dalam Matematik. Bukan semua pelajar mengamalkan gaya pembelajaran yang betul dan perkara ini akan mempengaruhi pencapaian mereka.

Menurut Sims (1995 di dalam Norlia, 2006) pentingnya  guru mengetahui dan memahami gaya pembelajaran individu kerana gaya pembelajaran yang di anggap berkesan oleh pelajar mungkin tidak bersesuaian dengan pelajar lain. Namun begitu, apa yang terjadi di dalam kelas semasa proses P&P Matematik ialah pelajar diberitahu apa yang mereka patut belajar dan bukannya bagaimana mereka patut belajar. Ini menunjukkan guru-guru kurang memberi penekanan kepada para pelajar tentang gaya pembelajaran.

Sebagai contoh yang ketara yang kita dapat lihat ialah dari segi gaya pembelajaran pelajar lelaki dan perempuan. Menurut kajian yang dilakukan oleh Sadler Smith (1996 di dalam Norlia, 2006) menunjukkan terdapat perbezaan dalam gaya pembelajaran antara pelajar lelaki dan perempuan. Hasil kajian menunjukkan pelajar lelaki mengamalkan gaya pembelajaran mendalam manakala pelajar perempuan mengamalkan gaya pembelajaran permukaan. Pelajar yang menggunakan pendekatan yang mendalam mempunyai motivasi yang tinggi untuk memahami sesuatu mata pelajaran. Berbeza pula dengan pelajar yang mengamalkan pendekatan permukaan yang mempunyai motivasi ‘takut gagal’ berbanding untuk memahami sesuatu  mata pelajaran. Kebiasaannya pelajar perempuan mendapat pencapaian yang lebih tinggi berbanding dengan pelajar lelaki. Oleh itu, para guru perlu mengambil perhatian yang lebih untuk perkara sebegini.

Isu 2: Walaupun dari segi kedudukan kita meningkat, mengapa dari segi purata keselurahan pencapaian pelajar Matematik menurun?

Menurut Syed Ismail (2010) selaras dengan teras Misi Nasional, negara perlu melahirkan modal insan yang memiliki minda kelas pertama untuk menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang berlandaskan ilmu pengetahuan dan inovasi. Modal insan yang dibangunkan perlu mempunyai keupayaan pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri peribadi yang unggul. Namun begitu terdapat beberapa dapatan hasil kajian di peringkat antarabangsa memberi petunjuk yang kurang memberansangkan tentang kecekapan pelajar kita dalam menyelesaikan masalah Matematik (TIMSS 1999 200; TIMSS 2003 2004). Jadi di sini terjawablah kenapa pencapaian pelajar Matematik makin menurun dari tahun ke tahun.

Selain itu juga, terdapat lagi kajian di peringkat antarabangsa menunjukkan sebilangan besar pelajar di Malaysia kurang mahir dalam menyelesaikan masalah Matematik dan masih menunjukkan prestasi di bawah purata antarabangsa. Jadual di bawah menunjukkan pencapaian Matematik pelajar Malaysia mengikut bidang dan deskripsi item dalam TIMSS 1999 (2000) (Roslina, 2004).

Bidang/ Deskripsi Item
Peratusan pelajar Malaysia yang menjawab dengan betul
Purata peratusan antarabangsa
Kedudukan Malaysia (38 negara yang mengambil bahagian)
Catatan

Bidang : Perwakilan data, analisis & kebarangkalian
Deskripsi Item:
Memilih maklumat yang berkaitan dengan menyelesaikan masalah
19
24
Ke-24
Purata pencapaian negara dibawah purata antarabangsa
Bidang : pecahan dan nombor
Deskripsi Item:
Menolak nombor yang melibatkan 3 tempat perpuluhan
92
77
Pertama
Purata pencapaian negara melebihi purata antarabangsa
Bidang : pecahan dan nombor
Deskripsi Item:
Menolak nombor yang melibatkan 4 digit.
94
74
Pertama
Purata pencapaian negara melebihi purata antarabangsa

Jadual 4(a): pencapaian Matematik pelajar Malaysia mengikut bidang dan deskripsi item
Analisis daripada jadual menunjukkan pelajar Malaysia kurang mahir dalam menyelesaikan masalah Matematik dan hal ini terbukti apabila bidang ini masih di bawah purata antarabangsa. Pelajar kita hanya cemerlang dalam item yang melibatkan pengiraan asas dengan mendapat tempat pertama dan perkara inilah yang melonjakkan negara kita ke tangga yang berkedudukan ke 16. Namun begitu, perkara ini masih terjadi pada TIMSS 2003. Kedudukan negara Malaysia terus meningkat ke kedudukan yang ke-10 dan berjaya mengalahkan negara maju lain tetapi kita masih gagal dalam bidang menyelesaikan masalah Matematik. Jadual di bawah menunjukkan hasil kajian TIMSS 2003.

Negara
Peratusan pelajar capai tanda ‘maju’
Peratusan pelajar capai tanda ‘tinggi’
Peratusan pelajar capai tanda ‘sederhana’
Peratusan pelajar capai tanda ‘rendah’
Malaysia
6
30
66
93
Antarabangsa
7
23
49
74
Singapura
44
77
93
99

Jadual 4(b): pencapaian Matematik pelajar Malaysia mengikut tanda antarabangsa dalam kajian TIMSS 2003 (2004)

Petunjuk yang digunakan oleh TIMSS 2003 pada kali ini ialah ‘maju’, ‘tinggi’, ‘sederhana’ dan ‘rendah’. Tanda aras maju merujuk kepada kemahiran yang melibatkan mengaplikasi pengetahuan dan pemahaman dalam situasi yang kompleks, menyusun maklumat, membuat generalisasi, menyelesaikan masalah tak rutin dan membantu rumusan. Manakala tanda aras tinggi merujuk kemahiran yang melibatkan aplikasi pemahaman dan pengetahuan dalam situasi yang agak kompleks. Di samping itu juga, hasil kajian TIMSS 1999 dan TIMSS 2003 menunjukkan pencapaian pelajar Malaysia dalam menyelesaikan masalah Matematik jauh ketinggalan dari negara serantau seperti Singapura, Korea dan Jepun. 

TIMSS 2003

TIMSS 2003 adalah kitaran peringkat yang ketiga selepas pelaksanaan TIMSS 1995 dan TIMSS 1999 untuk mengukur trend dalam mata pelajaran Matematik dan Sains yang melibatkan lebih kurang 50 buah negara dari seluruh dunia. Hasil laporan TIMSS 2003 masih menunjukkan negara jiran kita iaitu Singapura masih mendapat purata pencapaian tertinggi berbanding semua negara yang terlibat untuk kedua-dua mata pelajaran tersebut dan mendapat tempat pertama untuk gred 4 dan gred 8. Selain itu juga, untuk gred 8, Republik Korea, Hong Kong dan China Taipei turut mendapat pencapaian yang tinggi.
Hasil laporan menunjukkan negara kita turut mencapai peningkatan dari segi kedudukan antara semua negara yang terlibat. Pencapaian pelajar Malaysia dalam mata pelajaran Matematik telah meningkat dari tempat ke-16 dengan purata sebanyak 519 pada tahun 1999 ke kedudukan yang ke-10 dengan purata sebanyak 508 dan telah mendahului beberapa negara maju lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

Thursday 19 April 2012

Langkah/ Pendekatan

-PERTAMA-
         Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dicadangkan bergabung menganjurkan program bersama, melibatkan penyertaan murid dan guru. Langkah sebegini secara tidak langsung, menggalakkan komunikasi dan hubungan baik di samping dapat bertukar-tukar pendapat mengenai cara perlaksaan sesuatu aktiviti dalam kelas sebagai motivasi dan galakkan daripada guru-guru lain.

            Kajian yang dilaksanakan menunjukkan bahawa kaedah pembelajaran seperti latih tubi dan praktis, pemberian kerja rumah dan penyediaan kelas tambahan menjadi faktor utama peningkatan prestasi pelajar bukan bumiputera dalam subjek Matematik, terutamanya pelajar dari SRJKC. Peratusan pencapaian yang dikecapi mereka adalah lebih baik berbanding pelajar bumiputera dan ini jelas menunjukkan bahawa persaingan wujud dalam kalangan kaum berlainan jenis. Tidak salah sekiranya pengisian pelajaran di SRK, SRJKC dan SRJKT diselaraskan semula dengan menggunakan isi kandungan yang sama dan menambah bahasa Mandarin dan bahasa Tamil sebagai mata pelajaran wajib.

-KEDUA-
            Pun begitu, harus diingat bahawa mantan Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menjelaskan bahawa generasi pewaris yang hidup dalam abad ke-21 perlu berfikiran kreatif dan kritis, di samping kaya dengan maklumat serta maju dalam sains dan teknologi. Oleh yang demikian, pembelajaran berorentasikan peperiksaan semata-mata tidak akan dapat membantu pelajar membuka mindanya mengikut perkembangan dan keperluan semasa. Jadi, mungkin kenyataan dari Vygotsky (1967) boleh digunakan pakai sebagai panduan dalam membantu pelajar belajar iaitu menurut beliau, bermain membantu seseorang dalam perkembangan bahasa dan pemikirannya memandangkan struktur otak akan membentuk melalui penggunaan simbol dan alat. Malaysia mungkin boleh meminjam idea penggunaan kaedah model seperti yang digunakan di Singapura dalam membantu pelajar.

-KETIGA-
            Kerajaan negeri dan kerajaan pusat perlu bersama-sama berganding bahu mencari alternatif bagi mempertingkatkan kualiti jaringan pengangkutan dan ketercapaian di kawasan pedalaman. Tidak ketinggalan juga, Kementerian Pendidikan Malaysia harus memperuntukkan sebahagian besar kelengkapan pendidikan seperti buku-buku dan teknologi serta membekalkan guru berpengalaman di sekolah-sekolah luar bandar. Melalui pemerhatian sekeliling, guru yang baru keluar bertugas kebiasaannya akan dihantar ke kawasan luar bandar. Perlaksanaan ini sekali gus dilihat berat sebelah dan memberi keuntungan kepada pelajar di kawasan-kawasan bandar. Oleh yang demikian, perhatian dan bantuan dari kerajaan amat diperlukan dari segi keputusan dasar dan sumber kewangan untuk mempertingkatkan taraf pendidikan di kawasan luar bandar. Insentif kepada sekolah di kawasan tersebut perlu dipertimbangkan bagi membantu meningkatkan waktu pengajaran atau pun mengadakan kelas tambahan di luar waktu sekolah. Bantuan sedemikian sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah yang kurang berkemampuan dalam memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka.

-KEEMPAT-
            Akhbar Berita Harian pernah melaporkan terdapat kira-kira 26,000 lebihan guru di seluruh negara, terutama yang mengajar dua subjek berkenaan. Bilangan yang ramai itu masing-masing membabitkan 14,000 guru Sains dan 12,000 lagi guru Matematik. Ini merupakan salah satu masalah hasil daripada penyerapan guru ke sekolah tanpa mengira pengkhususan yang diambilnya. Memandangkan wujudnya masalah seperti ini, Malaysia tidak akan dapat menandingi Singapura yang rata-ratanya menggunakan khidmat guru yang pakar dalam bidang masing-masing. Maka, dalam situasi sebegini, sekali lagi kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia digesa untuk menghentikan pengambilan secara rambang dan juga mengetatkan syarat kepada guru-guru dalam memilih kawasan untuk mengajar, sebaliknya menekankan keperluan sekolah terhadap kekurangan guru dalam subjek tertentu.

-KELIMA-
             Seperti yang diketahui umum, peranan guru dalam mencorak pendidikan murid adalah yang paling besar sekali. Guru harus sedar bahawa merekalah yang mampu melakukan transformasi terhadap anak didiknya. Sehubungan dengan itu, mereka perlu memahami gaya pembelajaran pelajar masing-masing kerana tidak semua manusia kehendaknya sama. Seperti pepatah ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’, guru perlu menguasai ilmu pedagogi secara lebih efektif dan mendalam. Mereka seboleh-bolehnya memahami permasalahan yang wujud dalam pembelajaran pelajar-pelajar di kelas dan mungkin penceritaan dalam filem yang berkisarkan tentang masalah pelajar disleksia yang bertajuk ‘Taare Zameen Par’ boleh dijadikan inspirasi dan panduan kepada semua agar tidak membiarkan pelajar yang bermasalah tercicir dalam pelajaran. Guru juga perlu menjaga tingkah laku di sekolah dan di luar sekolah agar tanggapan pelajar terhadap guru secara keseluruhan seelok professionnya.


Wednesday 18 April 2012

Faktor-faktor

-PERTAMA-
       Perlaksanaan sistem pendidikan berpusat bermakna struktur pendidikan di      sesebuah negara bergantung kepada keputusan dan dasar yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan. Walaupun sistem pendidikan berpusat ini nyata lebih berorganisasi dan tersusun, namun bagi negara yang 470 kali lebih besar keluasan dan 6 kali lebih besar jumlah populasinya dari Singapura, Malaysia mempunyai sumber Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih rendah dengan jumlah sekolah yang begitu banyak, iaitu sekitar 10,000 buah berbanding Singapura yang memiliki sekitar 300 buah sekolah sahaja. Maka pengagihan peruntukkan secara adil bagi sekolah-sekolah di Malaysia adalah sukar untuk dilaksanakan terutamanya di sekolah-sekolah pedalaman.


       Jika diteliti dan dikaji secara mendalam, terdapat banyak perbezaan dari segi sekolah, kelas, dan kurikulum antara kedua-dua negara ini. Faktor yang paling utama sekali adalah dasar dwibahasa yang diterapkan di sekolah. Bagi negara Malaysia, selepas mencapai kemerdekaan, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu kedua-duanya menjadi bahasa pengantar yang utama selama satu dekad sebelum bahasa Melayu mengambil alih secara penuh sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar, terutamanya di sekolah. Sekolah vernakular telah pun wujud sejak zaman sebelum merdeka lagi. Kerajaan Inggeris membenarkan wujudnya empat buah system pendidikan yang berasingan (Abdullah Hassan, 1999). 

        Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) masing-masing menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, manakala bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa yang wajib dipelajari. Murid-murid di sekolah berkenaan walau bagaimanapun perlu mengikuti kelas Peralihan sebelum memasuki Tingkatan Satu di sekolah menengah. Bagi Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) pula, bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar dan bahasa Inggeris sebagai bahasa wajib dipelajari. Laporan Kabinet 1985 antara lainnya ada menyebut bahawa pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu ditujukan untuk menyatukan pelbagai penduduk dalam negara di samping menjadikannya bahasa untuk memperoleh ilmu. Ekoran daripada itu, fungsi bahasa Inggeris bertukar menjadi bahasa kedua dengan dua tujuan, iaitu ‘pertama, untuk membolehkan murid-murid itu menggunakan bahasa tersebut dalam kerja dan aktivitinya, dan kedua untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka untuk digunakan bagi tujuan pendidikan tinggi’ (Laporan Kabinet 1985).

 Berlainan dengan Singapura, sebaik mencapai kemerdekaan daripada Malaysia, sistem pendidikan di negara tersebut telah menghapuskan sekolah vernakular dan hanya membenarkan satu jenis aliran persekolahan sahaja yakni menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar manakala bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil sebagai bahasa wajib dipelajari oleh setiap pelajar (Laporan Goh 1978). Bagi negara di mana hanya 23 peratus daripada rakyatnya menggunakan bahasa pengantar sekolah di rumah, prestasi pelajarnya sangat memberangsangkan dalam penyelidikan TIMSS. 

 Kamsiah (1994) menjelaskan bahawa terdapat juga peraturan yang tidak membenarkan murid-murid daripada satu-satu kaum terbesar di Singapura belajar bahasa kedua yang bukan bahasa ibunda mereka. Ini bermakna, murid-murid Cina mestilah belajar bahasa Mandarin sahaja kerana bahasa selain Mandarin dikenal pasti sebagai bahasa dialek, dan bahasa dialek tidak diiktiraf sebagai bahasa ibunda. Begitu juga dengan murid-murid Melayu wajib mempelajari bahasa Melayu dan murid-murid India perlu mempelajari bahasa Tamil. Kelulusan dalam bahasa kedua (bahasa ibunda) dijadikan satu syarat kemasukan ke universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi. Oleh yang demikian, kajian Kamsiah (1985) mendapati sikap murid-murid Melayu terhadap pembelajaran bahasa ibunda mereka semakin terhakis berbanding sikap mereka terhadap bahasa Inggeris, dan begitu juga dengan murid-murid India terhadap perkembangan bahasa Tamil (Gopinathan, 1981). Sebaliknya, peratusan penggunaan bahasa Mandarin semakin meningkat dalam masa satu dekad yang mana masyarakat Cina Singapura sebelum ini lebih gemar menggunakan bahasa dialek.

-KEDUA-
            Bagi Singapura, boleh dikatakan hampir kesemua sekolah dikategorikan sebagai sekolah bandar yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi pengajaran yang memberi keselesaan kepada semua secara sama rata. Oleh sebab itu, sumber teknologi pengajaran tidak memberi sebarang kesan pengaruh kepada pelajarnya kerana tiada persaingan dan permasalahan yang wujud membabitkan alat bantu mengajar. Walau bagaimanapun, keadaannya berbeza di negara Malaysia, yakni lokasi sekolah terbahagi kepada dua, iaitu sekolah bandar dan sekolah luar bandar. Kebiasaannya, sekolah bandar mendapat lebih perhatian dan manfaat berbanding sekolah luar bandar, terutamanya di sekitar kawasan pedalaman yang tahap jaringan pengangkutannya adalah rendah. Faktor sebegini merupakan faktor penghalang kepada kemajuan di beberapa buah sekolah luar bandar memandangkan keperluan teknologi pengajaran tidak mencukupi.

      Pencapaian pelajar Malaysia selalunya dilihat dari segi pencapaian keseluruhan di sekolah. Menjadi suatu kebiasaan bagi masyarakat di sini membandingkan sesebuah sekolah dengan sekolah yang lain sebelum menghantar anak mereka bersekolah. Di Singapura pula, pencapaian pelajarnya adalah berbeza mengikut kelas berbanding sekolah kerana guru memainkan peranan yang penting dan mempunyai kuasa veto dalam mencorakkan pengajaran yang sesuai kepada pelajar di dalam kelas. Menurut suatu sumber, keadaan kelas di Singapura sengaja dibiarkan bising dan guru akan memberikan peluang satu persatu kepada pelajarnya untuk bercakap. Sebaliknya di Malaysia, masyarakat atau pelajarnya telah diajar untuk berada dalam keadaan senyap, membentuk keadaan yang tidak normal dan tabiat ini terbawa-bawa sehingga ke peringkat tinggi. Kesungguhan kerajaan Singapura memartabatkan taraf perguruan dapat dilihat apabila 70 peratus daripada rakyatnya yang cerdik pandai akan diserap dan dilatih untuk menjadi guru di sekolah menengah dan sekolah rendah. Hasil daripada itu, setiap guru yang dilantik adalah pakar dalam bidang masing-masing.

 -KETIGA-
     Seterusnya, faktor yang melibatkan pelajar. Hasil daripada kajian yang telah dilaksanakan, faktor seperti konsep kendiri bagi subjek Matematik, sikap terhadap pembelajaran Matematik, dan sumber pendidikan di rumah tidak memberikan kesan yang ketara kepada pelajar Malaysia berbanding Singapura dengan jumlah dapatan variance sebanyak 15.32 peratus bagi Malaysia dan 28.43 peratus bagi Singapura. Walaupun konsep kendiri pelajar bagi subjek Matematik lebih efektif terhadap pelajar Singapura dari segi dapatan variance, namun hubungan antara konsep kendiri dengan prestasi pelajar adalah lebih kuat bagi pelajar Malaysia. Malaysia mencatatkan bilangan pelajar yang mempunyai tahap sumber pendidikan di rumah yang tinggi adalah rendah (iaitu kurang daripada lima peratus yang memiliki lebih daripada 100 buah buku beserta tiga alat bantu belajar, dan salah seorang daripada kedua-dua ibu bapa mendapat pendidikan hingga ke tahap universiti) dan tenyata mereka yang mempunyai kelebihan ini dilihat lebih cemerlang dari segi pencapaian Matematik. 

      Pun begitu, Malaysia mencatatkan peratusan yang tinggi bagi pembelajaran di luar waktu persekolahan jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang terlibat dalam kajian TIMSS 1999 (Mullis et al., 2000), yakni lebih daripada 95 peratus daripada pelajar Malaysia dikategorikan sebagai pelajar tahap tinggi atau sederhana. Bagi kes ini, pelajar tahap tinggi dikira menghabiskan masa lebih daripada tiga jam setiap hari dengan mengulangkaji beberapa subjek, pelajar tahap sederhana pula menghabiskan sekitar satu hingga tiga jam dan pelajar tahap rendah dilaporkan membuat ulangkaji kurang daripada satu jam setiap hari. Sebaliknya, di Singapura pula, kaedah yang diterapkan dalam sistem pendidikan didapati unik daripada kebanyakkan negara lain. Singapura merupakan salah satu daripada beberapa buah negara yang melaksanakan kurikulum yang berbeza, bergantung kepada kumpulan pelajar selain negara Belgium, Netherlands, dan Russia yang masing-masing turut menduduki tempat teratas dalam kajian TIMSS 2003 iaitu di kedudukan yang ke-6, ke-7 dan ke-12.

-KEEMPAT-
          Kurikulum cadangan. Menurut kajian daripada American Institute of Research (AIR, 2005), buku teks dari Singapura membina pemahaman yang mendalam tentang konsep matematik melalui masalah kepelbagaian langkah (multistep problem) dan ilustrasi konkrit yang menunjukkan bagaimana konsep matematik yang abstrak yang digunakan untuk menyelesaikan masalah dari segi perspektif yang berbeza. Disebabkan itu, tidak mustahil bagi pelajar di Singapura untuk menyelesaikan masalah yang agak sukar walaupun masih bersekolah di sekolah rendah. Hal ini juga turut dipengaruhi oleh kaedah pembelajaran yang mana pelajar Singapura gemar menggunakan kaedah model (Model Method) yang terkenal, yang secara asasnya merupakan kaedah pra-algebra yang menggunakan model untuk menyelesaikan masalah.  Penggunaan model-bar sedikit sebanyak menyelesaikan masalah pengajaran. Ahli Matematik telah mengiktiraf penggunaan kaedah model-bar dalam pembelajaran Matematik di Singapura sebagai kaedah terbaik dan merupakan salah satu ciri-ciri yang menarik dalam kurikulumnya.

        Perlaksanaan kurikulum bagi darjah satu hingga darjah empat adalah sama bagi semua sekolah. Sebaliknya, bagi darjah 5 dan 6, terdapat dua jenis kurikulum yang diterapkan dalam kandungan (syllabus) yang dikenali sebagai EM1 atau EM2 dan EM3. Kandungan EM3 secara amnya ditujukan kepada pelajar yang lemah dan merupakan subset kepada kandungan EM1 atau EM2. Prestasi yang ditunjukkan oleh seseorang murid yang bersekolah di sekolah rendah akan menentukkan aliran sekolah menengah yang mana akan diterimanya. Terdapat empat jenis aliran persekolahan bagi sekolah menengah di Singapura iaitu Special, Express, Normal Academic dan Normal Technical, yakni kesemua jenis sekolah tersebut menggunakan kurikulum yang berlainan, berdasarkan tahap keupayaan pelajar-pelajarnya. Sekolah aliran Special dan Express kebiasaannya dipenuhi oleh mereka yang bijak pandai dan waktu persekolahan pula disingkatkan selama empat tahun berbanding sekolah aliran Normal, iaitu selama lima tahun persekolahan.

        Selain itu, terdapat beberapa budaya lembaran kerja di negara tersebut di mana guru-guru cenderung untuk menginterpretasi semula kurikulum dalam lingkungan kekangan skim kerja, yakni dengan menyediakan bahan yang lebih sesuai mengikut keperluan khusus dalam kelas masing-masing. Masa mengajar juga turut menyumbang kepada faktor kejayaan Singapura mendahului negara lain dari segi pendidikan dengan jumlah masa mengajar  bagi subjek Matematik adalah 22 peratus daripada masa keseluruhan mengajar bagi gred 4 dan 15 peratus masa mengajar bagi gred 8.

-KELIMA-
         Kurikulum yang dicapai. Singapura mempunyai amalan ujian dan penilai yang berbeza daripada Amerika Syarikat. Penilaian berasaskan sekolah hanya menyumbang peratusan yang kecil kepada persijilan akhir di peringkat akhir sekolah rendah, menengah dan Junior College (JC). Sebaliknya, peperiksaan penting seperti Primary School Leaving Education (PSLE) di sekolah rendah, O-level di sekolah menengah, dan A-level di peringkat JC yang akan menentukan tahap pencapaian kurikulum seseorang pelajar. AIR (2005) turut menyatakan bahawa soalan peperiksaan PSLE adalah lebih sukar daripada items yang dikeluarkan bagi penilaian gred 8 dalam Kemajuan Pendidikan Kebangsaan Amerika Syarikat (U.S National Assessment of Education Progress) dan ujian penilaian negeri (stete assessment test). Tujuan sebenar Singapura membentuk soalan-soalan peperiksaan yang sukar adalah bagi memudahkan mereka mengenalpasti pelajar terbaik di negaranya.

     Pun begitu, wujud beberapa kekangan daripada penggubalan kurikulum di negara Singapura kerana sesetengah pendapat seperti National Science Foundation (NSF) mendapati bahawa buku teks yang dihasilkan adalah bersifat tradisional, mengandungi banyak soalan latihan kepada pelajar, dan boleh disifatkan sebagai buku rujukan oleh guru-guru ‘tradisional’. Pendapat ini disokong pula dengan hujah dari kajian AIR (2005) yang menyatakan bahawa kurangnya penerapan kemahiran berfikiran dalam kurikulum Singapura. Brown (1999) juga berpendapat bahawa Singapura dan Taiwan dilihat mencapai keputusan yang baik menggunakan jaringan pengajaran tradisional yang agak membosankan. Tambahan beliau, murid-murid di negara tersebut digesa oleh guru masing-masing supaya melakukan yang terbaik untuk membuktikan kemampuan negara mereka memandangkan semangat nasionalisme merupakan unsur-unsur yang sangat penting dalam masyarakat.