Wednesday 18 April 2012

TIMSS 1999


Empat tahun yang berikutnya, selepas TIMSS 1995 mula diperkenalkan, sambutan daripada negara-negara luar adalah memberangsangkan walaupun penyelidikan TIMSS 1999 yang juga turut dikenali sebagai TIMSS-REPEAT atau TIMSS-R pada kali ini hanya melibatkan pelajar gred 8 di seluruh negara. Tujuannya perlaksanaan TIMSS-R ini adalah untuk menguji perkembangan prestasi pelajar gred 8 yang dahulunya belajar di gred 4 semasa penyelidikan TIMSS 1995 dijalankan bagi negara-negara yang pernah terlibat, di samping mengukur tahap pencapaian pelajar-pelajar bagi negara-negara yang tidak pernah terlibat sebelum ini. Antara 38 buah negara yang terlibat adalah Afrika Selatan, Australia, Amerika Syarikat, Belgium, Bulgaria, Chile, Cyprus, England, Filipina, Finland, Hong Kong, Indonesia, Iran, Israel, Itali, Jepun, Jordan, Kanada, Latvia, Lithuania, Malaysia, Moldova, Morocco, Netherlands, New Zealand, Republik Czech, Republik Korea, Reuplik Macedonia, Republik Slovak, Romania, Russia, Singapura, Slovenia, Taipei, Thailand, Tunisia, dan Turki.

Manakala negara-negara seperti Afrika Selatan, Australia, Amerika Syarikat, Belgium, Bulgaria, Cyprus, England, Hong Kong, Hungary, Iran, Israel, Itali, Jepun, Kanada, Latvia, Lithuania, Netherlands, New Zealand, Republik Czech, Republik Korea, Republik Slovak, Romania, Russia, Singapura, Slovenia, dan Thailand merupakan negara yang pernah mengambil bahagian dalam TIMSS 1995 bagi pelajar gred 8. TIMSS 1995 ini juga turut menyiasat konteks pembelajaran Matematik dan Sains merangkumi latar belakang pelajar, sistem pendidikan, kurikulum, latihan pengajaran, dan ciri-ciri pelajar, guru dan sekolah. Penilaian tersebut dijalankan secara berperingkat, iaitu pada peringkat pertama, kira-kira 150 buah sekolah akan dikenal pasti untuk dikaji, dan pada peringkat kedua pula beberapa buah kelas daripada sekolah yang terpilih akan dipilih untuk dijadikan bahan penyelidikan.

  Dapatan Kajian:

     Pencapaian Pelajar Gred 8
Negara-negara Asia mencatatkan kedudukan yang selesa dalam kalangan 5 buah negara terbaik di dunia dari segi pencapaian pelajar dalam Matematik dan seperti biasa, negara Singapura masih lagi mengekalkan kedudukannya di tangga pertama diikuti Republik Korea, Taipei, Hong Kong, dan Jepun. Negara-negara tersebut mempunyai kira-kira 65 peratus pelajar yang melepasi Tanda Aras Suku Tinggi yang mana pelajarnya berjaya mengaplikasikan pemahaman dan pengetahuan Matematik mereka dalam pelbagai situasi kompleks yang berkaitan, melibatkan pecahan, perpuluhan, ciri-ciri geometri, dan ungkapan algebra. Malaysia sebaliknya pula berada di kedudukan ke-16 dan ini merupakan kali pertama penglibatannya dalam kajian TIMSS. 

Bagi subjek Sains pula, negara Taipei mendahulu Singapura di kedudukan teratas dan lebih daripada separuh pelajarnya, iaitu diwakili oleh 25 peratus pelajar yang dinilai secara antarabangsa mencapai Tanda Aras Suku Tinggi. Mereka telah menunjukkan pemahaman konsepsi mereka berkenaan dengan kitaran Sains yang pelbagai dari segi sistem dan prinsip. Negara Hungary, Jepun dan Republik Korea masing-masing menduduki tempat ke-3, ke-4, dan ke-5. Manakala pencapaian pelajar di Malaysia bagi subjek Sains adalah jauh lebih rendah berbanding subjek Matematik, iaitu di kedudukan ke-22 dengan purata pencapaiannya yang lebih rendah daripada purata antarabangsa.

 Peningkatan Pencapaian
Dari tahun 1995 hingga 1999, terdapat beberapa buah negara yang berjaya menunjukkan peningkatan dalam pencapaian purata Matematik pada gred 8 iaitu Latvia, Kanada dan Cyprus. Bagi Sains pula, peningkatan pencapaian dipantau di negara Latvia, Lithuania, Kanada dan Hungary.

  Perbezaan Jantina
Perbezaan jantina diabaikan di kebanyakkan negara kecuali di Israel, Republik Czech, Iran dan Tunisia bagi subjek Matematik. Kajian melaporkan bahawa tiada satu pun negara yang menunjukkan peningkatan dari segi perbezaan pencapaian bagi kedua-dua jantina setakat ini manakala Korea pula menunjukkan penurunan berbanding empat tahun lepas (1995). Dalam subjek Sains, lelaki lebih menonjol berbanding perempuan bagi 16 buah negara. Penurunan yang ketara dalam perbezaan jantina berlaku antara tahun 1995 hingga 1999 di Hong Kong, Slovenia, dan Israel. Konsep kendiri yang positif dalam diri seseorang, yakni kebolehan menyelesaikan Matematik dan Sains berkait rapat dengan pencapaian tinggi dan kebiasaannya, lelaki lebih cenderung mempunyai konsep kendiri yang positif berbanding perempuan.

No comments:

Post a Comment