Friday 20 April 2012

Faktor-faktor

Gaya pengajaran guru yang kurang berkesan
Untuk menyediakan pelajar berhadapan dengan arus globalisasi pada masa mendatang, para pendidik Matematik perlu memperbaiki taraf kurikulum Matematik selari dengan perkembangan era ICT. Menurut Noor Shah (2010) pengajaran traditional berkaitan dengan konsep penerangan dan demostrasi masih berguna di alaf 21 ini tetapi memerlukan beberapa penambahbaikan dari strategi dan kaedah pengajaran. Oleh itu, guru yang masih mengamalkan pengajaran tradisional perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran agar pengajaran menjadi lebih berkesan terhadap para pelajar.

Menurut Siti Hamizah (2001 di dalam Wan Nor Shamimi, 2006) faktor utama kelemahan pelajar dalam Matematik adalah kerana guru kurang inisiatif untuk menambahkan ilmu pengetahuan di dalam bidang terutamanya yang melibatkan perkembangan kurikulum semasa. Sebagai contohnya, guru kurang gemar untuk mempelajari kemahiran penyelesaian menakkul, pembelajaran kooperatif dan sebagainya. Selain itu juga, guru kurang arif dalam bentuk dan format soalan dan menyebabkan mereka menggunakn cara pintas untuk mengajar para pelajar dalam menyelesaikan masalah. Di sebabkan hal inilah yang menyebabkan pelajar Malaysia lemah dalam menjawab soalan yang berbentuk penyelesaian masalah kerana mereka kurang mendapat pendedahan untuk cara menjawab soalan.

Selain itu juga, seseorang perlu ada pengetahuan yang mendalam tentang mata pelajaran yang hendak di ajar kerana dengan kurangnya pengetahuan guru dalam mata pelajarannya akan mendatangkan rasa tidak percaya pada dirinya,menyebabkan sifat yang membeku akan mendatangkan rasa bimbang dan seterusnya menghilangkan kepercayaan murid kepada guru (Atan Long, 1988 di dalam Zainita, 2003). Jika kita perhatikan, kebanyakkan guru masih terikat dengan pengajaran traditional yang kurang bersesuaian dengan tajuk yang di ajar. Perkara ini turut disokong oleh kajian Nik Aziz (2002 di dalam Wan Nur Shamimi, 2006) yang mendapati guru hanya memberi latih tubi untuk mengukuhkan kemahiran penyelesaian, menghabiskan silibus yang padat, kurang memberi penekanan kepada aspek kognitif dan membina pengetahuan Matematik secara konstruktif.

Sikap pelajar yang kurang meminati matematik
 Bukan semua pelajar meminati mata pelajaran kerana ia di kenali sebagai ‘killer subject’ dalam kalangan pelajar. Sikap pelajar yang kurang meminati Matematik boleh mempengaruhi pencapaian mereka dalam mata pelajaran tersebut. Pelajar yang belajar Matematik bukan dengan sepenuh hati akan menganggap mata pelajaran tersebut membosankan dan sukar. Di sebabkan hal ini, mereka mengambil jalan singkat untuk belajar Matematik secara hafalan. Ini akan mengakibatkan mereka akan hilang minat terhadap Matematik. Menurut Abdul Jalil (1993 di dalam Wan Nor Shamimi,2006) faktor minat dalam diri pelajar akan mempengaruhi proses pembelajaran. Jika pelajar meminati sesuatu, secara tidak langsungnya ia akan memberi keazaman yang kuat untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.

Selain itu juga, minat pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran amat penting kerana ia turut mempengaruhi pencapaian mereka. Sebagai contoh, jika kita perhatikan kanak-kanak suka bermain dengan permainan video dan sering mendapat keputusan yang lebih tinggi berbanding orang dewasa. Hal ini berlaku kerana mereka minat dalam permainan video berbanding orang dewasa yang tidak mempunyai masa untuk bermain permainan tersebut. Keputusan yang sama di dapati oleh Abu Seman (1997 di dalam Zaitina, 2003) dalam kajian yang dijalankan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, mendapati apabila minat pelajar-pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran itu tinggi, maka pencapaian pelajar akan meningkat. Oleh itu peranan ibu bapa dan guru amat penting dalam meningkatkan minat pelajar terhadap Matematik.

Gaya pembelajaran yang lemah dalam kalangan pelajar
Setiap individu mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza antara satu sama lain. Antaranya adalah sesetengah pelajar suka membuat catatan apabila mengulangkaji sesuatu mata pelajaran, ada yang suka belajar secara berkumpulan dan tidak ketinggalan juga pelajar yang suka belajar secara hafalan tanpa memahami maksud sebenar terutama dalam Matematik. Bukan semua pelajar mengamalkan gaya pembelajaran yang betul dan perkara ini akan mempengaruhi pencapaian mereka.

Menurut Sims (1995 di dalam Norlia, 2006) pentingnya  guru mengetahui dan memahami gaya pembelajaran individu kerana gaya pembelajaran yang di anggap berkesan oleh pelajar mungkin tidak bersesuaian dengan pelajar lain. Namun begitu, apa yang terjadi di dalam kelas semasa proses P&P Matematik ialah pelajar diberitahu apa yang mereka patut belajar dan bukannya bagaimana mereka patut belajar. Ini menunjukkan guru-guru kurang memberi penekanan kepada para pelajar tentang gaya pembelajaran.

Sebagai contoh yang ketara yang kita dapat lihat ialah dari segi gaya pembelajaran pelajar lelaki dan perempuan. Menurut kajian yang dilakukan oleh Sadler Smith (1996 di dalam Norlia, 2006) menunjukkan terdapat perbezaan dalam gaya pembelajaran antara pelajar lelaki dan perempuan. Hasil kajian menunjukkan pelajar lelaki mengamalkan gaya pembelajaran mendalam manakala pelajar perempuan mengamalkan gaya pembelajaran permukaan. Pelajar yang menggunakan pendekatan yang mendalam mempunyai motivasi yang tinggi untuk memahami sesuatu mata pelajaran. Berbeza pula dengan pelajar yang mengamalkan pendekatan permukaan yang mempunyai motivasi ‘takut gagal’ berbanding untuk memahami sesuatu  mata pelajaran. Kebiasaannya pelajar perempuan mendapat pencapaian yang lebih tinggi berbanding dengan pelajar lelaki. Oleh itu, para guru perlu mengambil perhatian yang lebih untuk perkara sebegini.

No comments:

Post a Comment