Friday 20 April 2012

TIMSS 2007

Trends In International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) merupakan satu kajian yang mengkaji pelaksanaan dan keberkesanan kurikulum Sains dan Matematik. Penyertaan Malaysia pada kali ini telah mendapat persetujuan dan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Ogos 2000 setelah dibentang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP). Malaysia merupakan antara 59 negara daripada seluruh dunia yang terlibat dalam TIMSS 2007. Penglibatan Malaysia dalam kajian ini melibatkan murid Tingkatan 2 iaitu seramai 4466 orang pelajar.

Menurut hasil kajian TIMSS 2007 menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara apabila skor Matematik merosot kepada 474 mata berbanding 508 pada tahun 2003. Manakala bagi skor Sains pula merosot kepada 471 mata daripada 510 pada 2003. Bagi pencapaian kedudukan, kedudukan Matematik dalam TIMSS telah merosot daripada tempat ke-10 daripada 46 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2003 kepada tempat ke-20 di dalam TIMSS 2007. Kedudukan sains juga turut merosot daripada kedudukan tempat ke-20 pada tahun 2003 kepada tempat ke-21 pada 2007.

Di samping itu juga, terdapat kajian TIMSS 2007 yang dilaksanakan oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachussets, Amerika Syarikat, mengatakan bahawa ada negara yang purata pencapaian pelajarnya meningkat atau menurun sedikit dan kemerosotan purata pencapaian pelajar Malaysia adalah yang terbesar dalam kalangan 59 negara tersebut. Hasil kajian terhadap laporan TIMSS 2007, menunjukkan majoriti negara-negara yang memperolehi skor purata yang lebih tinggi dan mendahului kedudukan di tangga teratas di dalam TIMSS 2007, menggunakan Bahasa Kebangsaan masing-masing sebagai bahasa pengantar di dalam pembelajaran dan pengajaran subjek Sains dan Matematik. 

No comments:

Post a Comment