Monday 16 April 2012

Pendahuluan

Tidak dapat dinafikan, pendidikan merupakan teras utama dalam sesebuah negara bagi melahirkan masyarakat dan individu yang celik ilmu serta berdaya saing, yakni mempertingkatkan kualiti sumber manusia sehingga ke peringkat global. Berfokuskan negara Malaysia sendiri, Kementerian Pendidikan telah menyusun dan merancang pelbagai kaedah untuk memperbaiki, memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat pada hari ini dengan memberikan pendidikan yang sama kepada semua pelajar tanpa mengira budaya, kelas sosial, kelompok etnik dan cara hidup. Walau bagaimanapun, isu berkaitan dengan permasalahan dalam pencapaian pelajar sekolah di Malaysia masih lagi wujud dan lebih jelas lagi jika dilihat melalui perbandingan dengan negara-negara maju yang lain dalam kajian TIMSS.

Akronim TIMSS merupakan singkatan bagi Trends in International Mathematics and Science Study. TIMSS merupakan suatu projek penyelidikan dan penilaian pelajar antarabangsa yang terbesar di dunia dengan tujuan untuk mengukur tahap pencapaian pelajar gred 4 (tahun 4 persekolahan) dan gred 8 (tahun 8 persekolahan) dalam pendidikan Matematik dan Sains di peringkat antarabangsa serta mengkaji perbezaaan sistem pendidikan di negara-negara yang terlibat. Perlaksanaan TIMSS adalah empat tahun sekali oleh International Association for the Evaluation of Education Achievement (IEA) dan diuruskan oleh International Study Centre, Lynch School of Education, Boston College, di Amerika Syarikat. Kajian TIMSS yang pertama telah dijalankan pada tahun 1995 dan diteruskan pada tahun berikutnya iaitu 1999, 2003, 2007 dan terkini adalah 2011. Pun begitu, kajian bagi tahun 2011 masih lagi dalam proses penghasilan laporan dan akan dikeluarkan pada penghujung tahun 2012 memandangkan pengumpulan data dilakukan pada Oktober hingga Disember 2010 bagi negara-negara di hemisfera selatan dan Mac hingga Jun 2011 bagi negara-negara di hemisfera utara dengan bayaran semasa iaitu USD 22,500 atau EURO 22,500 setiap tahun bagi satu gred dan USD 32,500 atau EURO 32,500 setiap tahun bagi kedua-dua gred, untuk setiap empat tahun projek (dari tahun 2009 hingga 2012).

No comments:

Post a Comment