Friday 20 April 2012

Faktor-faktor

    Tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru 
Seperti yang kita maklum, guru dan murid adalah satu hubungan yang saling melengkapi antara sama lain. Tanpa guru, murid tidak akan dapat belajar dengan sempurna dan begitu juga dengan guru. Sebagai guru Matematik, tugas utama adalah untuk menterjemahkan isi kandungan silibus pelajaran kepada bentuk yang boleh difahami oleh pelajar (Noor Azlan, 2006). Justeru itu, sepatutnya penguasaan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan guru-guru PPSMI adalah baik apabila PPSMI dilaksanakan. Namun sebaliknya yang berlaku kerana bukan semua guru mahir dalam bahasa asing tersebut. Hal ini menyebabkan kegagalan pelaksanaan PPSMI di sekolah.

Hasil kajian mendapati 39.3 peratus guru sekolah rendah yang gagal dalam penilaian Tahap Proficiency Bahasa Inggeris. Hal ini perlu dipandang serius kerana ia akan memberi impak besar kepada pedagogi serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu juga, hasil kajian oleh sekumpulan pensyarah UPSI dan UKM pada tahun 2006 menunjukkan 70 hingga 80 peratus pelajar tingkatan 2 menyatakan mereka sukar mengikuti pengajaran guru Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Jamrang (2004) menyatakan jika pelajar tidak memahami segala penyampaian dan pengajaran guru semasa proses P&P kerana penggunaan bahasa, maka ia akan membawa kepada masalah pembelajaran kepada pelajar tersebut. Manakala Rohana (2002 di dalam Profesor Emeritus, 2008) pula melaporkan dapatan kajian bahawa 84 % guru Sains dan Matematik di sekolah rendah, 69% guru di Tingkatan 1, 42% guru di Tingkatan 6 dan 29% pensyarah di matrikulasi lemah dalam penggunaan Bahasa Inggeris.

      Secara logiknya, kelemahan guru dalam Bahasa Inggeris sudah tentu tidak dapat membawa kepada peningkatan pencapaian pelajar dalam matapelajaran Sains dan Matematik apabila di ajar dalam bahasa tersebut. Sebagai kesimpulannya, penguasaan bahasa pengantar dalam kalangan guru memainkan peranan yang penting bagi menyampaikan isi pelajaran dengan berkesan serta mencapai objektif pelajaran. 

Faktor perbezaan sosioekonomi dan persekitaran
Sosioekonomi bermaksud hal-hal yang berkaitan dengan unsur-unsur atau faktor-faktor kemasyarakatan dan ekonomi. Faktor latar belakang sosioekonomi juga memainkan peranan dalam menentukan kejayaan dan kegagalan pelaksanaan dasar PPSMI. Latar belakang sosial keluarga bermaksud saiz keluarga, pendapatan ibu bapa, pekerjaan ibu bapa dan ispirasi keluarga. Status sosioekonomi merupakan salah satu faktor penting yang menentukan pencapaian seseorang pelajar. Status ini merujuk kepada pelajar di luar bandar dan pelajar bandar kerana sosioekonomi mereka berbeza tetapi mempelajari perkara yang sama di sekolah.

Jamaludin Ishak (1992 dalam Lokuin 1998) menjelaskan bahawa terdapat dua golongan pelajar Bahasa Inggeris di Malaysia. Pertama pelajar di bandar atau separuh bandar dan kedua pelajar di luar bandar atau kawasan pedalaman. Golongan pertama menerima pendedahan bahasa yang luas dan mencukupi dan dapat menerima hakikat bahawa Bahasa Inggeris adalah bahasa kedua. Berbeza pula untuk golongan yang kedua, mereka kurang mendapat pendedahan yang cukup terhadap bahasa kedua tersebut. Disamping itu juga, mereka mempunyai anggapan yang negatif terhadap bahasa Inggeris. Sikap ini diterima daripada alam sekeliling mereka. Alam sekeliling disini boleh merujuk kepada persekitaran keluarga.

      Kebiasaannya ibu bapa diluar bandar berpendidikan rendah dan kurang terdedah dengan bahasa asing ini. Apabila ibu bapa kurang pendedahan terhadap bahasa ini, ia turut memberi kesan kepada pendidikan anak-anak. Kewujudan PPSMI turut menambah beban para pelajar ini apabila terpaksa belajar subjek yang susah seperti Sains daan Matematik dalam bahasa Inggeris yang merupakan subjek yang susah juga. Hal ini akan menyebabkan pencapaian mereka makin merosot. Berbeza dengan pelajar di bandar, penggunaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek itu bukan merupakan penghalang dalam meningkatkan pencapaian mereka. Hal ini kerana mereka menggunakan bahasa tersebut dalam kehidupan harian bersama keluarga.

Hasil kajian Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI(2008) mendapati 70 % pelajar melayu di SK terutama golongan sosioekonomi rendah di bandar dan luar bandar berhadapan dengan kesusahan belajar dalam Bahasa Inggeris. Manakala golongan yang mendapat faedah daripada pelaksanaan PPSMI ialah hanya 20 – 30 % pelajar dari keluarga professional dan bandar yang menggunakan bahasa tersebut sebagai salah satu bahasa keluarga. Sebagai kesimpulan disini, taraf sosioekonomi pelajar boleh mempengaruhi pencapaian pelajar dalam sesuatu mata pelajaran.

      Tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar
Seperti yang kita sedia maklum, Matematik adalah satu mata pelajaran yang susah di kalangan para pelajar. Menurut Azlina (2003 di dalam Johari, tahun tidak dinyatakan), Matematik adalah antara matapelajaran yang di anggap sebagai ‘killer subject’ terutama di kalangan pelajar luar bandar. Kebimbangan ini menjadi serius apabila matapelajaran ini di ajar dalam Bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, PPSMI telah meletakkan bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua. Kefasihan dalam bahasa kedua tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat terutamanya kefasihan bahasa kedua sebagai bahasa ilmu. Manakala menurut Erwin (1984 di dalam Johari, tidak dinyatakan tahun) mendapati bahawa dengan kekerapan latihan sahaja seseorang mungkin tidak dapat menguasai bahasa yang dipelajari. Ianya perlu di tambah dengan pemahaman dan pembinaan ayat untuk penguasaan bahasa yang dipelajari.

Selain itu juga, pelajar kurang bersedia dalam menghadapi perubahan baru. Hasil kajian mendapati kesediaan pelajar yang kurang mencukupi, menganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Masalah yang sering dihadapi oleh pelajar ialah masalah pemahaman dan sebutan istilah Matematik dalam bahasa Inggeris. Disamping itu juga, kesukaran menstruktur ayat menyebabkan pelajar kurang bertanya soalan kerana kesukaran berkomunikasi. Menurut Syed Ismail (2010) kaedah penyoalan adalah sesuai untuk menggalakkan pemikiran dan pembelajaran murid. Penyoalan boleh dibahagikan kepada enam tahap berdasarkan Taksonomi Bloom. Disini kita dapat lihat bahawa kaedah soal jawab dapat meningkatkan pembelajaran pelajar. Apakah yang akan terjadi jika pelajar kurang bertanya? Ia akan mengakibatkan pelajar tidak dapat mengikuti kelas dengan sempurna dan nilai kritis dan kreatif tidak dapat diterap dalam diri mereka.

No comments:

Post a Comment