Thursday 19 April 2012

Langkah/ Pendekatan

-PERTAMA-
         Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dicadangkan bergabung menganjurkan program bersama, melibatkan penyertaan murid dan guru. Langkah sebegini secara tidak langsung, menggalakkan komunikasi dan hubungan baik di samping dapat bertukar-tukar pendapat mengenai cara perlaksaan sesuatu aktiviti dalam kelas sebagai motivasi dan galakkan daripada guru-guru lain.

            Kajian yang dilaksanakan menunjukkan bahawa kaedah pembelajaran seperti latih tubi dan praktis, pemberian kerja rumah dan penyediaan kelas tambahan menjadi faktor utama peningkatan prestasi pelajar bukan bumiputera dalam subjek Matematik, terutamanya pelajar dari SRJKC. Peratusan pencapaian yang dikecapi mereka adalah lebih baik berbanding pelajar bumiputera dan ini jelas menunjukkan bahawa persaingan wujud dalam kalangan kaum berlainan jenis. Tidak salah sekiranya pengisian pelajaran di SRK, SRJKC dan SRJKT diselaraskan semula dengan menggunakan isi kandungan yang sama dan menambah bahasa Mandarin dan bahasa Tamil sebagai mata pelajaran wajib.

-KEDUA-
            Pun begitu, harus diingat bahawa mantan Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menjelaskan bahawa generasi pewaris yang hidup dalam abad ke-21 perlu berfikiran kreatif dan kritis, di samping kaya dengan maklumat serta maju dalam sains dan teknologi. Oleh yang demikian, pembelajaran berorentasikan peperiksaan semata-mata tidak akan dapat membantu pelajar membuka mindanya mengikut perkembangan dan keperluan semasa. Jadi, mungkin kenyataan dari Vygotsky (1967) boleh digunakan pakai sebagai panduan dalam membantu pelajar belajar iaitu menurut beliau, bermain membantu seseorang dalam perkembangan bahasa dan pemikirannya memandangkan struktur otak akan membentuk melalui penggunaan simbol dan alat. Malaysia mungkin boleh meminjam idea penggunaan kaedah model seperti yang digunakan di Singapura dalam membantu pelajar.

-KETIGA-
            Kerajaan negeri dan kerajaan pusat perlu bersama-sama berganding bahu mencari alternatif bagi mempertingkatkan kualiti jaringan pengangkutan dan ketercapaian di kawasan pedalaman. Tidak ketinggalan juga, Kementerian Pendidikan Malaysia harus memperuntukkan sebahagian besar kelengkapan pendidikan seperti buku-buku dan teknologi serta membekalkan guru berpengalaman di sekolah-sekolah luar bandar. Melalui pemerhatian sekeliling, guru yang baru keluar bertugas kebiasaannya akan dihantar ke kawasan luar bandar. Perlaksanaan ini sekali gus dilihat berat sebelah dan memberi keuntungan kepada pelajar di kawasan-kawasan bandar. Oleh yang demikian, perhatian dan bantuan dari kerajaan amat diperlukan dari segi keputusan dasar dan sumber kewangan untuk mempertingkatkan taraf pendidikan di kawasan luar bandar. Insentif kepada sekolah di kawasan tersebut perlu dipertimbangkan bagi membantu meningkatkan waktu pengajaran atau pun mengadakan kelas tambahan di luar waktu sekolah. Bantuan sedemikian sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah yang kurang berkemampuan dalam memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka.

-KEEMPAT-
            Akhbar Berita Harian pernah melaporkan terdapat kira-kira 26,000 lebihan guru di seluruh negara, terutama yang mengajar dua subjek berkenaan. Bilangan yang ramai itu masing-masing membabitkan 14,000 guru Sains dan 12,000 lagi guru Matematik. Ini merupakan salah satu masalah hasil daripada penyerapan guru ke sekolah tanpa mengira pengkhususan yang diambilnya. Memandangkan wujudnya masalah seperti ini, Malaysia tidak akan dapat menandingi Singapura yang rata-ratanya menggunakan khidmat guru yang pakar dalam bidang masing-masing. Maka, dalam situasi sebegini, sekali lagi kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia digesa untuk menghentikan pengambilan secara rambang dan juga mengetatkan syarat kepada guru-guru dalam memilih kawasan untuk mengajar, sebaliknya menekankan keperluan sekolah terhadap kekurangan guru dalam subjek tertentu.

-KELIMA-
             Seperti yang diketahui umum, peranan guru dalam mencorak pendidikan murid adalah yang paling besar sekali. Guru harus sedar bahawa merekalah yang mampu melakukan transformasi terhadap anak didiknya. Sehubungan dengan itu, mereka perlu memahami gaya pembelajaran pelajar masing-masing kerana tidak semua manusia kehendaknya sama. Seperti pepatah ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’, guru perlu menguasai ilmu pedagogi secara lebih efektif dan mendalam. Mereka seboleh-bolehnya memahami permasalahan yang wujud dalam pembelajaran pelajar-pelajar di kelas dan mungkin penceritaan dalam filem yang berkisarkan tentang masalah pelajar disleksia yang bertajuk ‘Taare Zameen Par’ boleh dijadikan inspirasi dan panduan kepada semua agar tidak membiarkan pelajar yang bermasalah tercicir dalam pelajaran. Guru juga perlu menjaga tingkah laku di sekolah dan di luar sekolah agar tanggapan pelajar terhadap guru secara keseluruhan seelok professionnya.


No comments:

Post a Comment