Friday 20 April 2012

Langkah/ pendekatan

Peranan guru mempelbagaikan gaya pengajaran
Peranan guru sebagai pembina modal insan cemerlang sejak zaman berzaman memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Jika kita lihat pada pekerjaan guru, ia tidaklah sebegitu ‘glamour’ jika dibandingkan dengan pengarah, doktor dan sebagainya. Tetapi pekerjaan guru adalah pekerjaan yang paling mulia pada pandangan masyarakat. Jadi sebagai seorang guru kita perlu mengekalkan pandangan tersebut dengan memberi pengajaran yang terbaik kepada generasi muda dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Sesetengah guru sering meluahkan kekecewaan atas sikap pasif murid menerima pengajaran mereka tanpa memikirkan bahawa murid juga mungkin kecewa dengan gaya pengajaran guru. Mengikut Wan Zahid (1993 di dalam Syed Ismail,2010), pelaksanaan Kurikulum (KBSR) dan Kurikulum (KBSM) akan membawa kepada perubahan penekanan daripada pendekatan tradisional kepada pendekatan baru dalam proses pembelajaran di sekolah, di mana ia menegaskan bahawa pembelajaran yang tertumpu kepada murid (child centered) mesti diamalkan dan sebaliknya mengurangkan pembelajaran yang berpusatkan guru (teacher centered). Pembelajaran yang berpusatkan pelajar akan mengalakkan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan permasalahan Matematik. Sebagai contohnya, mengajar Matematik menggunakan pembelajaran kooperatif seperti ‘Think-Pair-Share’,’Show Down’, ‘Group-Math-Tournament(GMT)’ dan sebagainya yang akan melatih pelajar menyelesaikan masalah.

Selain itu juga, guru perlu mempelbagaikan gaya pengajaran dengan menggunakan peralatan teknologi untuk memberi pengajaran yang lebih berkesan kepada pelajar. Teknologi Pendidikan merupakan aplikasi ilmu pengetahuan sainstifik mengenai pembelajaran dan keadaan pembelajaran untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan P&P. Menurut Sarason (1995 di dalam Syed Ismail, 2010) menjelaskan bahawa adalah mustahil untuk mencipta dan mengekalkan suasana pembelajaran yang produktif untuk para murid apabila pengajaran guru tidak produktif. Sebagai contohnya, guru boleh menggunakan software yang tertentu seperti Geometry Sketch Pad (GSP) untuk mengajar mengenai topik garis lurus. Dengan pendedahan penggunaan software tersebut, para pelajar mudah memahami isi pembelajaran dan ia dapat membantu dalam meyelesaikan permasalahan Matematik.

Peranan guru dan ibu bapa dalam meningkatkan minat pelajar
Ibu bapa adalah di antara peranan yang penting dalam mengubah sikap dan minat pelajar dalam sesuatu mata pelajaran. Hanya dengan didikan sempurna daripada ibu bapa, anak-anak berjaya membentuk personality anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa perlu menanam minat terhadap Matematik dalam diri anak-anak sejak kecil lagi dengan memberi pendedahan penggunaannya dalam kehidupan seharian. Dengan cara itu, anak-anak tidak akan berasa mata pelajaran Matematik merupakan perkara asing dalam kehidupan.

Selain itu juga, sebagai ibu atau bapa kepada pelajar di sekolah, guru bukan sekadar perlu mengenali nama pelajar tetapi harus menjiwai diri mereka. Ini bermaksud guru perlu memahami kehendak, tabiat, minat dan kelemahan bagi memudahkan penggunaan kaedah pengajaran. Untuk menarik minat pelajar dalam mata pelajaran Matematik, guru perlu mengambil langkah untuk menjadi seorang guru yang berinovasi. Menurut Syed Ismail (2010) antara langkah untuk membentuk strategi inovatif dalam penyampaian pengajaran untuk mewujudkan suasana yang menyeronokkan adalah kenali diri pelajar, strategi pengajaran yang releven, punyai unsur kecindan, daya imaginasi yang tinggi dan pemilihan media. Dengan langkah-langkah tersebut, guru akan dapat menarik minat pelajar untuk mendalami dunia Matematik.

Di samping itu juga, pihak kerajaan juga tidak ketinggalan dalam usaha menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik. Antaranya adalah pengenalan komik dalam Sains dan Matematik. Institusi Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sedang menganalisis 50 buah buku bertemakan kreatif ke dalam Bahasa Melayu sebagai medium pembelajaran Sains dan Matematik. Langkah ini digunakan di negara serantau seperti Korea dan Jepun dalam menarik minat pelajar mereka untuk mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini.

Meningkatkan motivasi pelajar dalam mengamalkan gaya pembelajaran yang betul
Gaya pembelajaran yang berkesan mempengaruhi pencapaian seseorang pelajar. Pelbagai pihak perlu mengambil perhatian terhadap gaya pembelajaran yang diamalkan oleh pelajar agar ia tidak terpesong. Dalam pembelajaran individu, Ingham (1992) dan Wan Zahid (1993) di dalam Syed Ismail (2010) mengesyorkan agar para guru, murid dan ibu bapa memahami gaya pembelajaran murid dan menganggap perbezaan yang ada pada diri pelajar sebagai satu keistimewaan dan mereka dapat menggunakan keistimewaan mereka secara berkesan dalam pembelajaran.

Sebilangan pelajar yang mengamalkan gaya pembelajaran yang kurang berkesan adalah kerana mereka kurang motivasi dalam menyediakan gaya pembelajaran yang berkesan. Menurut Wan Nor Shamimi (2006),pihak KPM telah memberi kepercayaan kepada pihak sekolah untuk meningkatkan tahap motivasi pelajar dalam Matematik dan Sains dengan memberi bantuan dari sudut kewangan. Antara program untuk meningkatkan motivasi yang sering di adakan di sekolah ialah Smart Learning, Kem Sains dan Matematik dan Kem Motivasi Matematik. Apabila pelajar mempunyai motivasi yang tinggi untuk belajar, maka mereka akan dapat mengenalpasti gaya pembelajaran yang berkesan untuk mata pelajaran yang tertentu dan ini akan membantu dalam meningkatkan pencapaian mereka.

2 comments: